LISBON – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menggesa barisan pemainnya agar tidak mendabik dada terlalu awal selepas melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Benfica pada aksi suku akhir pertama kancah Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam.
Pada aksi di Estadio Da Luz itu, The Reds seakan-akan sudah meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir menerusi jaringan Ibrahima Konate, Sadio Mane dan Luis Diaz, manakala Benfica meraih gol tunggal hasil ledakan Darwin Nunez.
Kata Klopp, saingan UCL sentiasa sukar dan apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit pada aksi timbal balik nanti, namun keputusan diraih itu dengan kelebihan dua gol sedikit sebanyak melegakan tekanan dirasai anak-anak buahnya,
“Ini adalah perlawanan yang sukar apatah lagi beraksi di gelanggang lawan. Ia terbukti apabila Benfica berjaya membuatkan kami cemas selepas meledak gol pada awal babak kedua untuk menjadikan kedudukan 1-2.
“Saya anggap saingan masih lagi terbuka dan kelebihan dua gol ini masih tidak memberikan sebarang makna. Saya mahu pemain terus bekerja keras pada suku akhir kedua di Anfield minggu depan,” katanya.
Pengendali dari Jerman itu kini menuntut pasukannya agar segera mengalihkan tumpuan untuk kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang pendahulu, Manchester City di Stadium Etihad pada Ahad nanti.
“Tumpuan sekarang sudah tentulah aksi menentang City yang cukup penting buat kami. Kemudian kami akan kembali fokus kepada saingan UCL sebelum menamatkan minggu yang mencabar dengan bertemu City sekali lagi untuk aksi separuh akhir Piala FA,” katanya. – AGENSI