Oleh LIYANA RAMLI
IPOH – Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung penjualan tanah untuk cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, Perak Tengah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak akan melindungi sebarang maklumat daripada pihak bertanggungjawab jika ingin menjalankan siasatan.
“Jika sudah ada laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis dan mana-mana pihak yang ingin menjalankan siasatan, maka kerajaan begeri dan agensinya tidak akan melindungi apa-apa maklumat.
“Kita akan telus,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mengenai gesaan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak supaya menangguhkan kebenaran merancang yang diluluskan bagi pembangunan di atas tanah tersebut, Saarani menjelaskan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) mempunyai kuasa terhadap tindakan tersebut.
Katanya, sebarang tindakan yang akan dibuat oleh MDPT perlu merujuk peraturan dan undang-undang sedia ada.- KOSMO! ONLINE