HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan selepas bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 55, Jalan Kuala Lumpur menghala ke Ipoh awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.20 pagi.
“Kemalangan melibatkan motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 37 tahun dan lori yang dipandu lelak berusia 32 tahun.
“Kemalangan berlaku apabila pemandu lori cuai ketika memasuki ke simpang sebelum mangsa yang dari arah bertentangan merempuh lori tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rempuhan itu menyebabkan penunggang motosikal parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kubu Bharu di sini untuk tindakan lanjut. Pemeriksaan ke atas pemandu lori mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis amphetamine.
“Pemandu berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah. – KOSMO! ONLINE