MARAN – Harapan pemandu lori, Ahmad Mazlan Mat Adam, 49, untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri lebih meriah bersama ahli keluarga pada tahun ini berkecai apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Felda Jengka 14 di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, Ahmad Mazlan dan adiknya serta dua anaknya hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang.
“Rumah saya musnah sekelip mata, nampaknya sambutan Aidilfiri tahun ini suram buat kami sekeluarga. Saya akan membina semula rumah ini sedikit demi sedikit selepas ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Ahmad Mazlan, dia sekeluarga kini terpaksa menumpang di rumah bapa saudaranya buat sementara waktu sebelum kerja-kerja pembinaan rumah baharu dapat dilakukan secara berperingkat.
Sementara itu, menceritakan mengenai kejadian itu, Ahmad Mazlan memberitahu, api marak dengan pantas dari bahagian hadapan rumah sebelum merebak ke ruang tamu dan dapur.
“Ketika kejadian, saya bersama adik dan anak berusia tujuh dan 10 tahun berada di dalam rumah. Saya segera mengarahkan mereka keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.- KOSMO! ONLINE