SEREMBAN – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 10 pertuduhan memperdaya dan menipu mangsa dalam urusan jual beli telefon bimbit berjumlah RM26,150 sejak akhir tahun lalu.
Tertuduh, A Jegathis, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdaya sembilan mangsa dengan sengaja mempercayainya telah membuat pembayaran bagi pembelian pelbagai jenis telefon bimbit.
Tertuduh telah menunjukkan tangkap layar transaksi pindahan wang yang telah diubah suai yang telah menyebabkan mangsa menyerahkan telefon bimbit tersebut dengan nilai keseluruhan berjumlah RM22,850.
Kesalahan itu dilakukan antara 18 Disember 2021 hingga 22 Januari 2022 di pelbagai lokasi di daerah ini.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menipu seorang wanita yang mempercayai tertuduh telah membuat pembayaran RM3,300 ke dalam akaun banknya dengan menunjukkan tangkap layar transaksi pindahan wang yang telah diubah suai yang mana mangsa tidak akan menyerahkan telefon bimbit jenis iPhone 13 jika tidak diperdayakan.
Kesalahan itu dilakukan pada 17 Februari 2022 di Stesen Bas Terminal One Seremban.
Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding kes, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Azizi Abdull Aziz memohon tertuduh diberi jaminan rendah atas alasan dia mempunyai 10 pertuduhan serta akan dijamin oleh isterinya yang merupakan suri rumah.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM26,500 bagi kesemua pertuduhan dan kes akan disebutan semula 21 April depan. – KOSMO! ONLINE