PETALING JAYA – Setiap kali tiba bulan Ramadan, pasti ramai yang berlumba-lumba melakukan kebaikan termasuklah memberi sedekah.
Kelmarin, kecoh di Twitter mengenai sebuah video yang dikongsikan seorang pengguna, Akeem Sharyzal memaparkan seorang individu menyatakan hasratnya untuk menderma sebanyak RM1,000 kepada 10 pengikut bertuahnya di media sosial.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu mendapat kecaman ramai apabila dia dilihat membaling sejumlah kepingan RM50 yang dibawa keluar dari sebuah beg dan membiarkan wang berkenaan bersepah di lantai serta kelilingnya.
Rakaman tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan rata-ratanya kurang senang dengan sikap individu terbabit walaupun niatnya baik untuk memberi sedekah.
“Tidak semua orang bijak dalam melakukan kebajikan sehingga tanpa tidak sedar telah bertindak melebihi batasan,” komen Ajri.
“Ini la orang kata kaya duit, tapi miskin akhlak, nak beri orang sedekah, memang caranya duit itu kena baling, campak, mana nak datang keberkatan sedekah?,” luah Amirul Soidiq. – KOSMO! ONLINE