fbpx

Mengaji dengan suami memori terindah – Mia Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIA mengakui teruja dapat belajar mengaji bersama suami tercinta.

PETALING JAYA – Lain orang, berbeza cara untuk mengecapi bahagia.

Begitu juga buat pelakon, Mia Ahmad yang memberitahu momen belajar mengaji bersama suami tercinta yang juga pemain bola sepak, Mohd Izham Tarmizi merupakan memori terindah dalam perkahwinan mereka.

Kata Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, 34, dia tidak pernah membayangkan akan belajar untuk menyertai kelas mengaji sejak dua tahun lalu bersama suaminya.

“Hantaran ini bukan untuk menunjuk-nunjuk kebaikan tetapi hanya ingin berkongsi perjalanan kami bersama.

“Saya tidak pernah bayangkan kami akan ada momen berdua belajar al-Quran bersama-sama,” katanya dalam satu entri Instagram hari ini

Menerusi hantaran tersebut, Mia turut memuat naik video suaminya sedang belajar mengaji secara virtual dan dipantau oleh seorang ustaz.

Tambah pelakon drama Hati Perempuan itu, meskipun sudah boleh mengaji, dia dan suami memulakan perjalanan indah tersebut dengan membaca Iqra berbanding al-Quran.

Tidak mahu mengecap rasa bahagia tersebut seorang diri, dia juga mendoakan agar perkongsian tersebut dapat memberi inspirasi kepada individu lain.

“Walaupun sudah boleh membaca, kami mula dari Iqra sebab tahu masih merangkak-rangkak nak mengaji. Saya ini mudah terhibur jadi selalu rasa nak tergelak bila sampai giliran suami baca.

“Pastinya, inilah memori paling terindah dalam perkahwinan kami, walaupun anda semua tidak mahu tahu pun.

“Hanya berkongsi dan harap dapat beri inspirasi kepada keluarga di luar sana untuk sama-sama kita menuju ke syurga. Saya doakan kita semua dapat menjadi orang yang lebih baik pada bulan Ramadan ini,” katanya lagi.

Sebagai info, Mia mendirikan rumah tangga bersama Izham pada 13 Januari 2017.

Pasangan tersebut dikurniakan sepasang cahaya mata, Safy Issa, 4, dan Iris kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI