fbpx

Pegawai JPJ minta rasuah dijel 14 hari, denda RM17,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Najmi Zakaria dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. - Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihukum penjara 14 hari dan denda RM17,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta rasuah sebanyak RM3,500 untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Najmi Zakaria, 38, yang telah berkhidmat selama 14 tahun di JPJ mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 14 hari bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Mac lalu dan menjalani hukuman penjara tambahan tiga bulan jika gagal bayar denda.

Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 JPJ Negeri Sembilan itu didakwa meminta suapan RM3,500 daripada pemilik syarikat Lukut Agency sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lapan buah kenderaan yang tidak mematuhi notis di bawah Seksyen 61(1) APJ 1987.

Kesalahan dilakukan di sekitar daerah ini pada 13 Februari 2018 hingga 31 Mei 2019 dan didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh bagi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Asmawi Ismail memohon hukuman paling minimum kerana menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI