PETALING JAYA – Rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang untuk meninjau dan membeli juadah berbuka di bazar setiap kali setibanya bulan Ramadan.
Namun, tahun ini, kebanyakan pengguna mengadu harga makanan dan minuman di bazar Ramadan semakin mahal sehingga dikatakan peniaga sengaja mengambil kesempatan meletakkan harga tinggi.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai berkongsi harga makanan dan minuman di bazar yang tidak masuk akal seperti sebekas nasi tomato berharga RM10.
Menurut Mohd. Khalis Raouf, dia terkejut apabila melihat seketul peha ayam percik dijual pada harga RM10.
“Untung, jual RM10 seketul, 100 ketul dah dapat RM1,000 sehari, 30 hari boleh cecah RM30,000, macam ini la orang berniaga, untung tak kurang,” ujarya.
Sementara itu, ada juga pelanggan meluahkan kekecewaan apabila kualiti makanan yang dijual sangat teruk dan terdapat peniaga yang mengambil ringan soal kebersihan makanan tersebut.
Seperti perkongsian seorang pengguna Twitter, dia memaklumkan berasa geli apabila rangka ayam yang dibeli di bazar Ramadan masih terdapat isi perut ayam yang kotor dan tidak dibuang.
“Sampai hati jual dekat orang yang puasa macam ini, terkejut tengok dalam rangka ayam ada isi perut ayam dan pedal pun tak dicuci dan dipotong, semata-mata rangka celup tepung,” ciapnya.
Sehubungan itu, semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk melaksanakan siasatan dan semakan harga jika terdapat aduan yang banyak terhadap sesebuah premis atau gerai.
Jelasnya, tiada keperluan bagi peniaga untuk menaikkan harga makanan khususnya juadah yang dijual di bazar Ramadan kerana kebanyakan harga barangan kawalan sudah dikawal oleh kerajaan. – KOSMO! ONLINE