fbpx

Tiada keperluan peniaga naikkan harga makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander melawat salah satu gerai ketika mengadakan walkabout di Bazar Ramadan Putrajaya sempena Ops Pantau 2022 hari ini.

PUTRAJAYA – Tiada keperluan bagi peniaga untuk menaikkan harga makanan khususnya juadah yang dijual di bazar Ramadan kerana kebanyakan harga barangan kawalan sudah dikawal oleh kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan kawalan yang ditetapkan kerajaan itu sudah pun mengambil kira margin keuntungan.

Beliau berkata, kebanyakan harga barang-barang mentah bagi keperluan buka puasa dan Hari Raya telah dikawal oleh kerajaan melalui Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia sehingga 5 Jun depan.

“Barang-barang tersebut termasuklah ayam, telur ayam, minyak masak sawit tulen, tepung gandum kegunaan am, gula, gas cecair memasak (LPG), RON95 dan diesel untuk pengangkutan,” katanya ketika melakukan sesi walkabout di Bazar Ramadan Putrajaya sempena Ops Pantau 2022 di sini hari ini.

Katanya, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan siasatan dan semakan harga jika terdapat aduan yang banyak terhadap sesebuah premis atau gerai.

Alexander berkata, siasatan itu akan melibatkan semakan terhadap harga bahan mentah yang dibeli dari pembekal, kos pembuatan, kos operasi dan harga di peringkat pengeluar dan pemborong.

Justeru, katanya, beliau berharap peniaga dapat menetapkan harga yang lebih munasabah dan berpatutan.

“Kami akan memantau serta memberi perlindungan kepada pengguna, namun pada masa sama pengguna juga perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan daripada dimanipulasi peniaga tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, jika didapati peiaga menjual lebih satu sen daripada harga maksimum yang ditetapkan akan dikira sebagai satu kesalahan.

Beliau berkata, kerajaan sudah menetapkan harga maksimum bagi barangan kawalan itu dan ia perlu dipatuhi oleh peniaga di seluruh negara.

Jelasnya, tidak kira apa sahaja alasan diberikan kerana kementeriannya sudah membuat sekatan harga maksimum di pelbagai peringkat termasuk di ladang, pemborong dan peruncit.

“Satu sen lebih pun sudah jadi kesalahan apa lagi jika ia dijual sehingga RM10 sekilogram, itu adalah kesalahan besar,” katanya.

Katanya, beliau meminta pengguna supaya menyalurkan apa-apa aduan berkaitan kenaikan harga ayam itu di tempat masing-masing supaya siasatan lanjut boleh dilakukan.

Sebelum ini, media melaporkan kebanyakan peniaga di beberapa pasar basah utama di Pandan dan Larkin di Johor tidak mematuhi harga siling ditetapkan oleh kerajaan dan menjualnya antara RM9.50 hingga RM10 berbanding RM8.90 harga siling ditetapkan kerajaan.

Bermula 5 Februari lalu, KPDNHEP menetapkan harga siling runcit bagi ayam standard adalah RM8.90 dan harga berkenaan akan berkuat kuasa sehingga 5 Jun depan bertujuan menjamin kestabilan harga ayam dan makanan berkaitan harga mentah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI