BENTONG – Berpantang maut sebelum ajal. Seorang lelaki bernasib baik apabila terselamat selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 80 meter di Kilometer 5.6 Jalan Genting Highlands di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu menyaksikan kereta jenis Proton Saga FLX berkenaan remuk teruk.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kereta Proton FLX berkenaan yang dipandu mangsa dipercayai terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung di tapak pembinaan cerun sedalam 80 meter.
“Akibat kemalangan mangsa yang berumur 48 tahun mengalami kecederaan di bahagian leher dan sakit pada bahagian dada.
“Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Dalam pada itu beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Polis juga menasihatkan semua pengguna jalan raya agar memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik dan selamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE