WASHINGTON – Industri penternakan unggas termasuk ayam dan itik di Amerika Syarikat (AS) bergelut dengan wabak selesema burung yang membunuh lebih 22.8 juta haiwan ternakan pada tahun ini, demikian menurut laporan Jabatan Pertanian AS (USDA).
Menurut agensi berita United Press International, wabak selesema burung itu melanda 24 negeri termasuk Wyoming dan Maine dengan Iowa menjadi negeri paling teruk terjejas.
Data persekutuan mendedahkan bahawa kira-kira 5.3 juta ternakan unggas di daerah Buena Vista, Iowa, telah dijangkiti selesema burung.
Selain itu, lebih 15 juta ayam dan 1.3 juta ayam belanda juga telah dihapuskan di AS sejak Januari tahun ini.
Wabak selesema burung menjejaskan industri ternakan ayam dan menyebabkan harga bahan makanan itu melonjak terutamanya menjelang sambutan Hari Easter.
Data USDA menunjukkan bahawa daging ayam dijual pada harga purata AS$3.63 (RM15.30) bagi setiap 453 gram, minggu lalu berbanding AS$2.42 (RM10.20) pada 2021.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), wabak selesema burung tidak mencetuskan kebimbangan serius terhadap kesihatan manusia. Ayam yang dimasak dengan betul adalah selamat untuk dimakan.
Setakat ini, hanya seorang pemilik ternakan di Britain yang dijangkiti wabak itu dan tanpa gejala.
Jangkitan selesema burung boleh menular kepada itik, itik angsa, burung liar dan haiwan ternakan lain menerusi air liur, najis dan rembesan cecair hidung. – Agensi