SEREMBAN – Kegiatan pelacuran pada bulan Ramadan di dua buah hotel bajet di daerah ini terbongkar dengan penahanan lapan wanita warga asing dalam serbuan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, bertindak atas risikan dan maklumat awam, pihak polis telah menyerbu kedua-dua premis berkenaan pada pukul 3 petang yang dikesan beroperasi tanpa lesen selepas negara memasuki fasa Endemik.
“Lapan wanita warga asing yang ditahan itu berusia 25 hingga 35 tahun dan berasal dari negara jiran, mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti persundalan di dua premis hotel bajet ini.
“Berdasarkan siasatan, kedua-dua hotel bajet ini dikesan menjadi tempat aktiviti pelacuran dengan menyediakan khidmat seks pada harga RM45 ke RM50 bagi tempoh satu jam,” katanya ketika ditemui selepas operasi di sini hari ini.
Menurut Nanda, ketika serbuan ada di antara wanita warga asing itu cuba melarikan diri dan terdapat lima pelanggan iaitu tiga lelaki tempatan dan dua warga asing berusia 25 hingga 35 tahun berada di dalam premis tersebut.
“Kita masih membuat siasatan, dipercayai wanita warga asing ini datang ke Malaysia menggunakan pasport bagi tujuan sosial.
“Belum dapat dipastikan juga bila kesemua wanita warga asing memasuki negara, dan kemungkinan premis ini mula beroperasi secara tidak sah sejak seminggu ke dua minggu lalu,” katanya.
Jelas Nanda, kesemua tangkapan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua lapan wanita warga asing dan lima pelanggan itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut.
“Turut dirampas, beberapa kondom dan wang tunai,” katanya. – KOSMO! ONLINE