fbpx

Elak hutang untuk bermegah, syukur apa yang ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tabiat suka berhutang akan membuatkan seseorang itu tidak lena tidur. - GAMBAR HIASAN

Sikap suka berhutang bagaikan sudah sebati dalam kehidupan segelintir masyarakat kita hari ini walaupun bukan dalam keadaan terdesak. Lebih malang, ada yang mula menjadikan perbuatan berhutang sebagai satu amalan dan sebati dalam kehidupan.

Sebahagian daripada mereka berbuat demikian bukan kerana terdesak tetapi lebih kepada ingin bermegah-megah dan menunjukkan kemewahan kepada orang lain.

Mereka ghairah berhutang untuk mendapatkan apa mereka hajati seperti memasang eksesori kereta, tukar perabot mewah, beli pakaian berjenama, beli kenderaan mewah di luar kemampuan sehinggalah nak sambut Hari Raya Aidilfitri pun berhutang.

Semua itu tidak lebih sekadar hanya untuk ‘ditayangkan’ di media sosial. Mereka yang berhutang ini pula bukannya golongan susah, malah yang mempunyai pendapatan baik juga turut sibuk untuk berhutang.

Jadi tidak hairanlah, ratusan syarikat kewangan baik yang berlesen mahupun haram terus ‘hidup subur’ kerana ada saja orang yang akan datang meminjam.

Terbaharu, syarikat-syarikat terbabit rancak menarik pelanggan mereka dengan pelbagai tawaran istimewa sempena Aidilfitri.

Kelulusan segera, kadar faedah yang rendah, semua itu akan membuatkan ramai yang rambang mata sehingga terlupa dengan ‘beban berat’ akibat terperangkap dengan hutang yang terpaksa dipikul kemudian hari.

Secara hakikatnya, berhutang bukanlah perkara yang ditegah, tetapi biarlah ia dilakukan untuk perkara yang benar-benar penting sahaja seperti membeli rumah atau kenderaan yang selayaknya atau untuk memulakan dan membesarkan perniagaan.

Bagaimanapun, jika berhutang dengan niat untuk bermegah-megah dan ingin menunjukkan kita lebih hebat daripada orang lain, eloklah ia segera dihentikan.

Sedar atau tidak, hari ini ramai dalam kalangan kita yang terperangkap dengan masalah hutang sehingga memberi kesan buruk terhadap masyarakat.

Ramai yang terpaksa hidup dalam keadaan tidak keruan akibat diburu pengutip hutang, keluarga berpecah-belah, ada yang diisytiharkan muflis, malah ada sampai ke peringkat membunuh diri.

Hutang juga sebenarnya turut menyuburkan amalan riba yang sememangnya ditegah dalam Islam dan mereka yang terdesak dengan hutang pula berkemungkinan terdedah kepada kejadian-kejadian jenayah yang lain seperti mengambil rasuah, pergaduhan, penipuan, pecah amanah dan macam-macam lagi.

Malah, sebuah negara juga boleh runtuh hanya kerana hutang.

Kesimpulannya, berusahalah sedaya upaya untuk mengelak diri daripada berhutang. Jika tidak perlu, tak payahlah berhutang. Nak buat apa pun, buat lah, tapi kita mesti ukur baju di badan sendiri dan tidak perlu terikut-ikut dengan gaya hidup dan kemewahan orang lain. Cuba hidup dengan cara yang diredai Allah, bersyukur dengan apa yang ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI