LONDON – Mikel Arteta tampil memohon maaf dan mengakui bahawa Arsenal perlu menerima segala kritikan susulan kekalahan mengejut 0-3 kepada Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park awal pagi semalam.
Keputusan itu menamatkan perjalanan hebat The Gunners yang sebelum ini meraih lima kemenangan berturut-turut di tempat lawan dan kini boleh menjejaskan harapan mereka untuk menamatkan saingan di kelompok empat terbaik.
Arsenal turun dengan serba tidak kena apabila membiarkan tuan rumah mendahului dua gol di babak pertama menerusi Jean-Philippe Mateta dan Jordan Ayew sebelum Wilfried Zaha menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan tiga mata berharga buat Palace.
“Daripada awal kami tidak berada dalam persaingan ini. Apabila kami datang ke sini, kami perlu bersaing, memenangi bola dan bersikap agresif, namun kami gagal melakukannya.
“Kami cukup lemah, tidak konsisten dan semua ini tidak boleh diterima. Sudah tiba masanya untuk kami terima kritikan, angkat tangan dan meminta maaf kerana prestasi seperti ini masih belum cukup memuaskan buat Arsenal.
“Tahniah buat Palace kerana mereka berhak menang berdasarkan prestasi yang ditunjukkan. Kami akan terima kritikan dengan rendah diri dan tidak boleh ada rasa simpati atas kekalahan ini,” kata Arteta.
Keputusan itu meletakkan Arsenal di tangga kelima EPL, berkongsi 54 mata dengan Tottenham Hotspur di tangga keempat, namun masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan ke atas seteru tradisi tersebut. – AGENSI