“SEMUA berlaku secara spontan tanpa banyak perancangan rapi.” Demikian ungkap penyanyi tersohor, Anuar Zain saat berhubung pembabitannya dalam misi kemanusiaan bersama Pertubuhan Syria Care di Lubnan bermula 10 April ini.
Kata Anuar, entah mengapa, hatinya terpanggil dan seiring langkah kakinya digerakkan untuk bertemu pengasas Syria Care beberapa bulan lalu sebelum mengambil keputusan menyertai misi amal tersebut.
“Kalau ikutkan, pada awalnya kami berbincang untuk projek lain. Namun, disebabkan kesuntukan masa, projek itu terpaksa dibatalkan.
“Menerusi perbincangan tersebut lagi, tiba-tiba idea untuk melakukan misi kemanusiaan ini tercetus. Saya tanpa berfikir panjang ketika itu lantas bersetuju untuk terbabit bersama,” katanya
Jelas Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain, 52, dia nekad turun padang membantu pelarian yang bertahun-tahun lamanya dihimpit dengan kesukaran hidup tanpa menunjukkan noktah tersebut.
“Sebagai manusia, kita ada tanggungjawab untuk memberi kesenangan kepada orang sekeliling terutama keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga.
“Bantuan itu mungkin dalam bentuk waktu, tenaga atau wang ringgit. Selepas kita puas kongsi kesenangan kepada orang sekeliling, tentunya kita ingin panjangkan lagi kepada pihak lain yang memerlukan seperti golongan pelarian di Syria,” ujarnya.
Mengulas pandangan sesetengah pihak yang skeptikal terhadap kemampuannya berdepan cabaran melaksanakan misi kemanusiaan tersebut, pelantun lagu Andainya Takdir itu percaya dengan aturan Tuhan.
Adik kepada penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain itu juga berserah kepada Tuhan agar segala urusannya di sana nanti dipermudahkan.
Pada masa sama, Anuar juga sudah mempersiapkan dirinya 100 peratus, terutama dari segi mental dan fizikal sebelum menelusuri sendiri pengalaman sulung berdepan keperitan hidup golongan bergelar pelarian.
“Selepas diberi penerangan mengenai keadaan pelarian Syria dan menyaksikan sendiri bagaimana kanak-kanak putus tangan, tertimbus di celahan bangunan serta terpaksa menjaga diri sendiri selepas kehilangan orang tua, saya akhirnya kalah dan tanpa sedar mengalirkan air mata.
“Luluh hati melihat ada kanak-kanak yang hanya memakai selipar tanpa stokin dan kasut ketika musim sejuk dan susu bawah 10 darjah Celsius.
“Pihak Syria Care juga sudah memberi taklimat mengenai apa yang bakal berlaku di sana. Saya juga awal-awal sudah dimaklumkan, ada ketika kami akan menginap di hotel, di rumah orang atau tidur di mana sahaja.
“Saya tidak kisah itu semua. Misi kali ini, saya akan redah dan lakukan sehabis mungkin. Tiada makna untuk bermewah-mewah atau terlalu nak jaga penampilan persis di pentas persembahan,” ujarnya.
Tambah Anuar, dia juga tidak sabar dan teruja untuk berpuasa selama 17 jam di luar negara, selain berdoa agar kesihatan mereka terjaga sepanjang lapan hari berkelana di bumi bertuah itu.
“Doa dan harapan saya semoga kami semua sihat agar urusan untuk menghantar bantuan makanan, khemah serta segala keperluan lain seperti yang diamanahkan dipermudahkan,” katanya.
Bagi misi yang memasuki siri ke-13 tersebut, Syria Care menyasarkan dana sebanyak RM225,000 bagi membantu sekitar kurang 1,000 keluarga di negara bergolak berkenaan.
Individu yang ingin menyumbang terutama menaja set iftar serendah RM15 atau pek makanan kering bernilai RM150 boleh berbuat demikian melalui pautan khas Anuar Zain iaitu donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/.