COPENHAGEN, Denmark – Sebuah bongkah ais gergasi iaitu lebih besar daripada kota raya Paris pecah dari lapisan air paling besar di Artik disebabkan suhu lebih panas di Greenland, kata saintis kelmarin.
Bongkah seluas 113 kilometer persegi itu terlerai daripada Glasier Nioghalvfjerdsfjorden, timur laut Greenland.
“Kami mengawasi kecepatan peleraian yang berlaku pada lapisan ais terbesar ini,” kata Jason Box yang merupakan profesor kajian glasier dari Pusat Kajian Geologi Denmark dan Greenland (GEUS).
GEUS juga menyiarkan imej satelit menunjukkan bongkah ais pecah itu.
Walaupun normal untuk ais terlerai daripada glasier, namun bahagian yang pecah biasanya tidaklah terlalu besar .
Menurut GEUS, sejak 1999, glasier itu hilang ais seluas 160 kilometer persegi atau dua kali ganda saiz kota raya Manhattan dengan kadar kehilangan ais meningkat begitu pantas sejak dua tahun lalu.
“Sekiranya kita alami lebih banyak musim panas melampau seperti yang kami pantau sejak dua tahun lalu, ia akan menyumbang kepada peningkatan paras laut dengan lebih cepat,” kata Box.
Pencairan lapisan ais di Greenland mengakibatkan paras laut meningkat 1.1 sentimeter antara tahun 1992 hingga 2018, demikian menurut satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Nature pada Disember tahun lalu.
Kajian lebih terkini oleh Universiti Lincoln di England pula meramalkan pencairan ais di Greenland akan mengakibatkan paras laut meningkat antara 10 hingga 20 sentimeter menjelang 2100. – AFP