PETALING JAYA – Kebanyakan kedai atau restoran yang berada pada kedudukan agak tinggi akan menyediakan laluan khas buat golongan orang kelainan upaya (OKU).
Tujuannya, bagi memudahkan pergerakan mereka untuk naik atau turun dari ruang kedai terutamanya melibatkan individu yang menggunakan kerusi roda.
Namun, menarik perhatian orang ramai sejak semalam apabila sebuah rakaman milik @exfortea memaparkan keadaan laluan khas bagi OKU kelihatan agak curam dan berisiko.
“Ini OKU lalu, meninggal kau tahu tak, kau tengok curam dia, bahaya betul, jadi lain agaknya macam ni,” komenya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai juga meluahkan kerisauan melihat keadaan laluan OKU yang dikatakan tidak sesuai untuk lalu kerana boleh membahayakan nyawa dan keselamatan seseorang.
“Bahaya kalau OKU lalu, curam macam ini boleh terundur, kalau dari atas rasanya tergelongsor jatuh senang-senang nanti, risiko keselamatan,” ujar Saipudin.
Dala pada itu, ada juga pengguna yang sempat berseloroh terhadap situasi yang dikongsikan tersebut.
“Ini laluan ke rahmatullah,” kata Anon.
“Ini untuk warga OKU atau untuk pemain ‘skateboard’, dah macam terjunan menginsafkan diri,” seloroh Hidayat. – KOSMO! ONLINE.