SINGAPURA – Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong menyatakan bahawa negara itu tidak akan melaksanakan semula sekatan ketat pandemik meskipun kes Covid-19 kembali meningkat pada masa akan datang, lapor akhbar Bangkok Post kelmarin.
Menurut akhbar The Straits Times, kelonggaran sekatan perjalanan akan membolehkan lebih ramai pekerja memasuki negara itu.
Ia seterusnya dijangka dapat meningkatkan bilangan buruh dalam sektor pembinaan di Singapura kepada keadaan sebelum pandemik menjelang pertengahan tahun ini.
“Tekanan inflasi yang meningkat perlu dikurangkan menerusi pertambahan bilangan pekerja,” ujar Lawrence.
Singapura berisiko berdepan peningkatan semula kes Covid-19 selepas melaksanakan kelonggaran sekatan paling meluas sejak pandemik bermula.
Peraturan berkaitan makan di restoran, perjalanan masuk ke negara itu dan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat tertutup adalah antara sekatan yang dilonggarkan bermula hujung Mac lalu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, peraturan sekatan perjalanan terhadap rakyat Singapura yang tidak menerima vaksinasi tidak akan dinilai semula sehingga situasi hospital di negara itu betul-betul stabil. – AGENSI