KUALA LUMPUR – Jenama makanan sejuk beku terkenal, EB Frozen Food Sdn. Bhd. (EB) telah mengedarkan 1,000 pek cenderahati mengandungi bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar Masjid Wilayah Persekutuan di sini semalam.
Program anjuran EB bersama syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. itu bermula kira-kira pukul 3 petang dan edaran dibuat secara pandu lalu kepada pengguna jalan raya.
Pengurus Pemasaran EB, Nurul Fatihah Jamil berkata, program tersebut julung kali diadakan dan lokasi berkenaan adalah yang pertama untuk Ramadan tahun ini.
Katanya, selain bubur lambuk, pihaknya turut memberikan beberapa produk EB antaranya nuget ayam tempura, ‘ring roll’ (gegelung kacang soya), kurma dan turut disertakan akhbar Kosmo! serta Utusan Malaysia.
“Program pada hari ini (semalam) bertujuan untuk meraikan kedatangan Ramadan di samping memperkenalkan produk EB kepada orang ramai.
“Untuk program di Masjid Wilayah hari ini (semalam) kita edarkan kira-kira 1,000 pek cenderahati dari EB yang mengandungi bebarapa produk EB bersama dua akhbar terbitan Media Mulia,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Nurul Fatihah berkata, program seumpama itu akan diteruskan di lima lokasi selepas ini iaitu tiga di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Kedah serta Johor.
“Hari Khamis ini kita akan berada di Kedah. Sasaran kita adalah untuk memberikan kira-kira 6,000 pek cenderahati kepada orang ramai di kesemua lokasi yang telah dirancang.
“Kami berharap orang ramai dapat mencuba produk EB yang kita edarkan pada hari ini (semalam) dan juga pada program akan datang serta menikmatinya bersama keluarga,” katanya.