SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan pintu sempadan negara, berita itu disambut dengan penuh syahdu khususnya dalam kalangan perantau.
Kedatangan Ramadan selang beberapa hari selepas sempadan dibuka juga menjadikan suasana semakin pilu kerana selepas sekian lama, kita akhirnya boleh bersama insan tersayang bagi menyambut bulan penuh keberkatan itu.
Pintu masuk sempadan darat khususnya di Singapura dan juga lapangan-lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara mulai diserbu orang awam yang sudah begitu lama menantikan saat itu.
Malah, video suasana di Tambak Johor yang menunjukkan pekerja Malaysia di Singapura yang kembali ke tanah air antara yang paling banyak dikongsi pengguna media sosial tepat pukul 12 tengah malam pada 1 April lalu.
Laluan itu yang dahulunya sunyi sepi kembali meriah dengan sorakan dan teriakan mereka yang sudah lama ‘terkandas’ di Singapura akibat pandemik Covid-19.
Fasa peralihan endemik menyaksikan pelbagai kelonggaran diberikan semula, termasuk aktiviti solat berjemaah di masjid serta surau tanpa penjarakan fiszikal dan juga upacara sembahyang di rumah ibadat.
Berita tersebut ternyata cukup dinantikan orang ramai, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini yang mana aktiviti solat sunat tarawih diadakan setiap malam selama 30 hari.
Ternyata, masyarakat menyambut baik kelonggaran tersebut dengan berpusu-pusu menunaikan solat tarawih pertama pada 2 April lalu.
Malah, seorang rakan penulis juga berkongsi bahawa dia dan beberapa orang teman terpaksa mendirikan solat sunat tersebut di luar sebuah masjid di ibu kota memandangkan rumah ibadat itu sudah terlalu penuh.
Dalam keseronokan dan keterujaan berada dalam fasa peralihan endemik dalam bulan Ramadan, rakyat juga diminta untuk terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Ramadan yang sudah dirangka kerajaan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam satu kenyataan beliau kelmarin berkata, selari dengan peralihan ke fasa endemik itu, beberapa kelonggaran telah diberikan kerajaan seperti penganjuran bazar Ramadan.
“Di sinilah kita akan melihat pelbagai kaum dan etnik sebagai sebuah Keluarga Malaysia berkunjung mendapatkan pelbagai juadah makanan dan minuman serta barangan keperluan.
“Namun, janganlah kita lupa dan alpa untuk sentiasa mematuhi kepada SOP yang telah ditetapkan,” demikian katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga mengingatkan orang ramai supaya tidak lalai dan terus mengamalkan kawalan kendiri dalam memastikan Covid-19 terus terkawal kerana peperangan terhadap virus berbahaya itu masih belum tamat.
Oleh itu, sebarang aktiviti sama ada bersahur, berbuka puasa atau pulang ke kampung perlulah sentiasa beringat bahawa Covid-19 itu masih wujud.