SANTIAGO – Pelumba pasukan Aprilia, Aleix Espargaro melakar sejarah tersendiri apabila memenangi perlumbaan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Argentina di Litar Termas de Rio Hondo awal pagi semalam.
Lebih manis, keputusan itu juga merupakan kemenangan sulung buat Aprilia dalam saingan premier tersebut selepas beberapa kali mencuba selain berdepan banyak halangan sebelum ini.
Espargaro menegaskan, kemenangan tersebut bukanlah disebabkan nasib semata-mata memandangkan dia dapat merasakan RS-GP22 adalah jentera terbaik pernah dikendalikannya dalam saingan MotoGP.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana saya dapat merasakan kemampuan yang dimiliki jentera. Sejak ujian pramusim di Qatar lagi, jentera RS-GP22 sudah menunjukkan potensi cukup besar.
“Ini adalah jentera terbaik pernah saya tunggang sepanjang karier. Mungkin sebelum ini tidak ramai yang percaya dengan kemampuan Aprilia, namun saya sentiasa yakin kami mampu bersaing hebat,” katanya.
Espargaro kini menjadi pendahulu kejuaraan dunia dengan mengumpul 45 mata, diikuti pelumba KTM, Brad Binder serta Enea Bastianini dari pasukan Gresini Racing.
“Musim ini boleh dianggap antara paling sukar kerana membariskan ramai pelumba terbaik. Saya sangat bertuah kerana dapat merealisasikan impian saya selama ini,” ujar Espargaro.
Sebagai rekod, perlumbaan MotoGP seterusnya iaitu GP Portugal di Litar Algarve, Portimao dijadualkan pada 24 April ini. – AGENSI