PETALING JAYA – Perniagaan Putu Piring Warisan Nenek yang dijalankan orang kelainan upaya (OKU) dan kini membolehkan pengusahanya, Yusairi Hafiz Tajudin, 31, menjana pendapatan RM30,000 sebulan telah dinobatkan sebagai pemenang pertama Liga Usahawan OKU Selangor- Say Lead untuk peringkat pusingan akhir.
Yusairi yang merupakan OKU fizikal (urat saraf tangan dan kaki kanan) berniaga di Medan Selera Pasar Moden MPSJ di Subang Jaya dengan hanya bermodalkan RM3,000 itu dipilih melalui satu program anjuran Selangor Youth Community (SAY).
Ia bertujuan untuk mempromosi perniagaan golongan belia.
Program ini ditaja kerajaan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor.
Pemenang untuk liga ini telah menerima piala dan sijil serta layak ke peringkat seterusnya selain mendapat bimbingan selama satu tahun untuk membantu kumpulan pemenang ini mengembangkan perniagaan masing-masing melalui akses pasaran baharu, digitalisasi serta pasaran eksport.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SAY, perniagaan Yusairi yang memiliki seramai enam pembantu itu juga telah berkembang ke sebuah medan selera di Petaling Jaya.
“Beliau bercadang untuk memiliki sebuah kafe sendiri di seluruh negeri dan menjadikan putu piring sebagai hidangan utama di semua cawangan berkenaan,” katanya.
Selain itu, Faizul Ahmad Zuki, seorang OKU penglihatan (buta mata sebelah kanan), 39, yang menjalankan perniagaan mencuci kapet di Rawang, Selangor telah memenangi tempat kedua liga tersebut.
Nooraihan Che Li, 41, OKU berkerusi roda pula menerima hadiah untuk tempat ketiga liga berkenaan.
Beliau yang menjalankan perniagaan menjual alat perkakasan rumah di bawah jenama BNG Systems itu telah melahirkan 300 usahawan e-dagang.
Selain itu, Linges Warry a/p Apparao, 23, belia OKU yang menggunakan alat bantuan pernafasan sejak 15 tahun lalu itu menerima anugerah usahawan OKU harapan.
Beliau yang memiliki diploma dalam bidang pengurusan telah membangunkan perniagaannya, Absolute Glam Global dengan menjual produk kosmetik.
Linges menyertai program SAY Lead bertujuan untuk mempelajari bidang pemasaran. -KOSMO! ONLINE