KOTA TINGGI – Tindakan pemilik perusahaan barang lusuh yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan beroperasi secara haram di kawasan ‘ceruk’ kampung terbongkar selepas diserbu dalam Operasi Bersepadu Lusuh hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, operasi yang dilakukan bersama agensi lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Syarikat Air Johor (SAJ), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Pengerang itu berjaya menahan tujuh orang suspek disyaki pemilik premis.
Katanya, kesemua mereka terdiri daripada tiga penduduk tempatan manakala empat lagi merupakan warga asing.
Jelasnya, hasil risikan mendapati aktiviti berkenaan telah lama dijalankan di mana mereka berselindung atas premis yang tidak diletak papan tanda perniagaan selain menjadikan kawasan rumah kampung sebagai lokasi.
“Sebanyak enam kompaun dikeluarkan dibawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 kerana tidak memiliki lesen perniagaan barangan lusuh. Empat warga asing ditahan selain dikenakan kompaun mereka juga akan disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka ini melakukan perniagaan dengan membeli barang daripada penduduk tempatan atau keluar membeli barang untuk aktiviti perniagaan mereka.
“Kita juga dapati mereka terima barang seperti tembaga, meter elektrik, meter air yang merupakan satu kesalahan. Suspek yang ditahan didapati melakukan aktiviti tersebut sejak setahun lalu,” katanya.
Jelas beliau, pihak KKM turut mengeluarkan empat kompaun dibawah Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975 dengan denda sebanyak RM500 dikenakan ke atas pemilik premis. -KOSMO! ONLINE