JAKARTA – Pentadbiran Kabupaten Bogor di Jawa Barat menganjurkan pertandingan menggali kubur paling kemas dan pantas yang menawarkan hadiah utama berupa wang tunai 5 juta rupiah (RM1,468), lapor portal Coconut News.
Tujuan pertandingan itu adalah untuk menaikkan martabat penggali kubur selain tanda penghargaan buat pekerjaan tersebut terutamanya semasa musim pandemik Covid-19.
Ketua Badan Perumahan, Permukiman, dan Pengezonan Kabupaten Bogor, Ajat Rochmat Jatnika berkata, penggali- penggali kubur telah bekerja keras mengebumikan mangsa Covid-19 ejak beberapa tahun lalu.
“Bayangkan, semasa kemuncak penularan wabak ini, penggali kubur mengebumikan sehingga 50 jenazah setiap hari. Mereka melakukannya tanpa mengira waktu walaupun menyedari risikonya,” kata Ajat.
Peserta dinilai berdasarkan kelajuan menggali, kekemasan dan kepatuhan mereka kepada dimensi kubur standard.
Seorang penggali kubur dari Tanah Perkuburan Jonggol, yang menduduki tempat kedua secara keseluruhan berkata, dia telah bekerja sebagai penggali kubur selama 16 tahun.
“Alhamdulillah, saya masih mempunyai kekuatan untuk bekerja sehingga ke hari ini. Saya berharap dapat sentiasa membantu orang dan saya kekal sihat.
“Terima kasih kepada Ketua Daerah Bogor atas perhatian, penghargaan, dan motivasi kepada kami,” katanya. – Agensi