fbpx

Enam sekolah di Sabah ditutup ekoran banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan SK Pekan Kinarut yang ditenggelami banjir akibat hujan lebat sejak semalam.

Oleh Ivan Amirul

KOTA KINABALU – Sebanyak enam sekolah membabitkan tiga daerah ditutup akibat banjir berikutan hujan lebat yang melanda kebanyakan daerah di Sabah sejak semalam.

Antara sekolah terjejas adalah Sekolah Rendah (SK) Babagon Toki, Inanam, SK Tampasak, SK Kaiduan, SK Pekan Kinarut dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kin Kiau Kinarut, Papar dan SK Pintas, Beaufort.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Dr Mistirine Radin berkata, SK Pintas yang menempatkan seramai 174 murid dan 16 guru terpaksa ditutup untuk operasi hari ini.

Mistirine berkata, sekolah yang turut menempatkan lapan murid pra sekolah itu ditutup ekoran kawasan serta laluan sekolah dinaiki air.

“SK Babagon Toki di Inanam, juga ditutup kerana berlaku tanah runtuh di laluan sekolah sehingga tidak dapat dilalui.

“Sekolah ini menempatkan 102 murid termasuklah 17 murid pra sekolah selain 14 guru,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mistrine berkata, empat lagi sekolah di Papar juga ditutup disebabkan kawasan serta laluan sekolah dinaiki air.

“Mereka yang terjejas di semua empat sekolah ini adalah seramai 174 guru serta 2, 551 murid dan 124 murid pra sekolah.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang terjejas adalah seramai 2,796 murid, 204 guru dan 149 murid pra sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melalui Pusat Gerakan Operasi memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar ibu negeri dan beberapa daerah berhampiran.

“Bagaimanapun, bomba sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan sering dinaiki banjir,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa tempat di Sarawak dan Sabah.

Sabah dijangka mengalami hujan lebat di beberapa kawasan termasuk pedalaman Kuala Penyu dan Beaufort, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) serta Kudat dan Labuan sehingga Rabu ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI