COLOMBO, SRI LANKA – India menyatakan sokongan kepada krisis di Sri Lanka dengan menghantar 40,000 tan beras sebagai bantuan asas makanan pertama ke negara itu, lapor akhbar Hindustan Time, kelmarin.
Selain bantuan makanan, India juga cuba membantu dalam krisis bahan api di negara kepulauan itu.
Indian Oil Corporation yang merupakan syarikat milik kerajaan India, dijangka menyediakan penghantaran 40,000 tan diesel ke Sri Lanka tidak lama lagi, demikian menurut sumber.
Penghantaran diesel semasa adalah melebihi tujuh penghantaran bulanan petrol, diesel dan bahan api jet yang dihantar ke Sri Lanka di bawah talian kredit untuk membeli produk petroleum yang dimuktamadkan pada Februari.
Sementara itu, penghantaran beras akan menjadi bantuan makanan utama pertama sejak Colombo memperoleh talian kredit dari New Delhi.
“Kerja-kerja memuatkan beras telah bermula di pelabuhan selatan.
“Kami akan mula memenuhkan kontena untuk penghantaran segera dan kerja-kerja memuatkannya ke dalam kapal akan bermula dalam beberapa hari,” kata Pengarah Urusan Pattabhi Agro Foods, BV Krishna Rao.
India kekal sebagai pengeksport beras terbesar di dunia dan bersetuju untuk menyediakan saluran kredit AS$1 bilion (RM4.2 bilion) pada Mac bagi menangani kekurangan barangan keperluan Sri Lanka termasuk bahan api, makanan dan ubat-ubatan.
Inisiatif itu dapat membantu Colombo menurunkan harga beras yang meningkat dua kali ganda dalam setahun selain peningkatan harga bahan api yang menjadi punca pergolakan di negara itu. – AGENSI