PUTRAJAYA – Isu tular berkaitan kenderaan dengan plat pendaftaran Singapura mengisi minyak petrol RON95 kini disiasat Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kementerian mengambil maklum mengenai tentang gambar tular tersebut dan telah mengarahkan agar ia disiasat serta-merta.
“Saya juga telah mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama yang berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak kementerian juga melancarkan Ops Pantau 2022 hari ini bagi melaksanakan aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif.
Alexander berkata, selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, Ops Pantau turut akan memastikan pematuhan yang tinggi oleh para peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara yang bermula 1 April 2022.
“KPDNHEP dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON 95 kepada semua kenderaan termasuklah motosikal yang bernombor pendaftaran asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE