fbpx

Bebaskan Yasin, dia perlu dirawat – Wardina Safiyyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARDINA berasakan Yasin perlu dibantu, bukannya dihukum.

PETALING JAYA – Pelakon dan bekas pengacara Wardina Safiyyah berpendapat penyanyi dan juga komposer, Yasin Sulaiman yang ditahan polis atas tuduhan menanam dan memiliki dadah jenis ganja tidak patut dimasukkan ke penjara kerana sedang berjuang dengan kesihatan mental yang dialaminya.

Malah, ujar pemilik nama lengkap Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot,43, lagi, hukuman gantung sampai mati yang menanti penyanyi berusia 47 tahun itu jika sabit kesalahan juga tidak wajar berbanding kesalahan jenayah lain seperti rogol yang tidak dikenakan hukuman mati.

“Sesetengah pembunuh dan perogol pun tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati. Yasin tidak wajar hidup dalam penjara dan menanti hukumkan gantung sampai mati disebabkan menanam beberapa pasu tumbuhan (ganja).

“Dia (Yasin) sepatutnya dirawat kerana mempunyai masalah kesihatan mental (bipolar) dan memerlukan sokongan dan pemulihan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi sitkom Spanar Jaya itu turut menyifatkan Yasin sebagai kenalan yang sangat baik dan berbakat besar.

“Yasin seorang sahabat yang berbakat, bijak, baik hati dan berani. Saya doakan semoga dia kuat dan berada dalam keadaan baik untuk menempuhi dugaan ini dengan tenang.

“Hati saya hancur kerana Yasin tidak sepatutnya menerima hukuman ini. Bebaskan Yasin dari penjara dan bantu dia,” kata Wardina.

Pada 25 Mac lalu Kosmo! Online melaporkan polis menahan seorang penyanyi nasyid iaitu Yasin kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menemui satu bekas plastik berwarna biru atau hitam di dalamnya terdapat dua plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja seberat 214 gram di dalam rumah berkenaan.

Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM10,700 dan hasil pemeriksaan lanjut di bahagian sebelah dapur menjumpai satu almari dan di dalamnya terdapat tiga pokok disyaki pokok ganja.

Pemeriksaan di dalam bilik pertama menjumpai 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja selain satu pokok tumbuhan sama di balkoni.

Pada masa sama, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Wish dan wang tunai turut disita. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC.

Ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 31 Mac lalu, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI