PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada Ramadan kali ini yang menyaksikan negara memasuki fasa endemik kelmarin.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, selari dengan peralihan ke fasa endemik itu, beberapa kelonggaran telah diberikan kerajaan seperti penganjuran bazar Ramadan.
“Di sinilah kita akan melihat pelbagai kaum dan etnik sebagai sebuah Keluarga Malaysia berkunjung mendapatkan pelbagai juadah makanan dan minuman serta barangan keperluan.
“Namun usahlah kita lupa dan alpa untuk sentiasa mematuhi kepada SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Halimah berkata, 1 Ramadan 1443H sememangnya bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam yang jatuh pada hari ini.
Katanya, Ramadan bukan sekadar untuk umat Islam menjalani ibadah puasa, namun ia merupakan platform terbaik untuk terus meningkatkan semangat Keluarga Malaysia melalui nilai toleransi, saling menghormati dan meraikan perbezaan yang kita miliki.
“Ramadan juga adalah bulan yang mendidik kita menjadi insan yang sabar dan mempunyai nilai empati yang tinggi khususnya kepada golongan yang kurang bernasib baik.
“Atas semangat kebersamaan dan kesyukuran sebagai sebuah keluarga, pada bulan penuh kemuliaan ini marilah kita mengambil seberapa banyak kesempatan untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE