fbpx

‘Yasin, berubahlah! Netizen, kecaman itu saham akhirat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kumpulan nasyid terkenal tanah air, Rabbani mendoakan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman reda mendepani ujian dan tindakan undang-undang susulan kes dadah yang dihadapi untuk menjadi insan lebih baik.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, Yasin perlu melihat ujian tersebut sebagai satu permulaan mengubah diri dan keluar daripada situasi memudaratkan.

“Untuk sahabat kami yang sedang diuji (Yasin), percayalah ujian anda terima ini adalah satu permulaan untuk menjadi lebih baik.

“Terima ujian ini dengan reda, orang kata terus berubah, panggillah doktor sekali pun, penceramah hebat macam mana pun, mereka tidak akan dapat mengubah diri kita, melainkan kita sendiri,” kata Azadan.

Azadan berkata demikian pada majlis kerjasama Gogopasar dan Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional (Kopenas) memacu pendigital koperasi sekolah di Melaka, di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Rabbani yang juga terlibat dalam bidang perniagaan dilantik menjadi Gogopreneur sebagai inspirasi kepada orang ramai menggunakan konsep pendigitalisasian dalam perniagaan.

Mengulas lanjut, Azadan turut mengingatkan netizen untuk tidak terus mengeluarkan komen atau kata-kata yang boleh menimbulkan kebencian atau menjejaskan industri nasyid dalam laman sosial.

“Kepada netizen, ingat ya setiap perkataan kita keluarkan itu kalau membuatkan orang benci kepada lagu-lagu nasihat, orang membenci kepada agama, itu ‘saham’ yang tidak baik.

“Jadi jangan sebab perkataan, kata-kata kita terjerumus dalam kemaksiatan, kalau kita rasa diam itu lebih baik, berdiam sahajalah dan berdoa kepada Allah S.W.T,” katanya.

Tambahnya, selepas penyanyi itu dikenakan tindakan undang-undang, pihaknya turut menjadi ‘sasaran’ rakan-rakan seperjuangan dan orang ramai yang cuba mendapatkan kepastian.

“Respons mereka adalah ‘kasihan’ dan bukannya ‘padan muka’, kami pun berfikir, kita ini hanyalah manusia biasa yang tidak tidak lari daripada melakukan kesilapan.

“Cuma dia (Yasin) artis, kami artis malah sejak akhir-akhirnya ini orang biasa pun akan menjadi viral, jadi bila berlaku sesuatu itu jangan pandang keseluruhan atau kumpulan, kerana ia adalah kesalahan individu itu dengan Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI