MOSCOW – Depoh simpanan minyak di sebuah bandar di Rusia terbakar dalam serangan yang didakwa Kremlin, dilakukan oleh dua helikopter tempur tentera Ukraine, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
Satu rakaman video yang disiarkan di laman Twitter menunjukkan depoh simpanan minyak berkenaan di Belgorod terbakar. Bandar Rusia itu terletak 40 kilometer dari sempadan di utara Ukraine.
Seorang pegawai kanan keselamatan Kiev, bagaimanapun menafikan tentera Ukraine melancarkan serangan itu.
“Untuk sebab tertentu, mereka (Rusia) menyatakan bahawa kami (Ukraine) dalang di sebalik serangan itu. Tuduhan yang dilemparkan adalah tidak benar,” kata Setiausaha Majlis Keselamatan Ukraine, Oleksiy Danilov said.
Sebelum ini, pesawat perang Ukraine tidak pernah membedil sasaran di Rusia.
Namun, Gabenor Belgorod, Vyacheslav Gladkov menuduh Ukraine melancarkan serangan itu dengan butiran mengenainya dimaklumkan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov.
“Sekitar pukul 5 pagi (waktu Moscow), dua helikopter Mi-24 milik Ukraine memasuki ruang udara Rusia pada ketinggian amat rendah dan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas depoh simpanan minyak awam di pinggir Belgorod.
“Beberapa tangki penyimpanan rosak dan terbakar.
“Fasiliti simpanan minyak itu tiada kena mengena dengan angkatan tentera Rusia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dmitry Peskov yang merupakan jurucakap Presiden Vladimir Putin berkata, insiden itu ‘tidak membantu dalam rundingan antara Rusia dan Ukraine’ yang sehingga kini, tidak menunjukkan sebarang kemajuan.
Belgorod yang mempunyai 370,000 penduduk terletak di utara Kharkiv. Bandar kedua terbesar di Ukraine itu menjadi sasaran bedilan artileri dan serangan udara serta masih dikepung oleh tentera Rusia.
Menurut Gladkov dalam satu kenyataan menerusi Telegram, tiada mangsa terbunuh dalam serangan itu. Depoh simpanan minyak itu dikendalikan oleh firma minyak kerajaan Rusia, Rosneft.
“Pekerja kecemasan sedang berusaha memadamkan api, manakala kebakaran yang berlaku tidak mengancam penduduk setempat,” katanya.
Agensi berita Rusia, Interfax melaporkan bahawa penduduk berdekatan telah dipindahkan, manakala dua orang cedera di depoh berkenaan. Sebanyak lapan tangki bahan api terbakar dan hampir 200 anggota bomba berada di lokasi kejadian. – Agensi