PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak leka dan terus mengamalkan kawalan kendiri selain tetap memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam meskipun negara kini sudah berada dalam tempoh peralihan ke fasa endemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepanjang diuji dengan pandemik Covid-19, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh, manakala solat fardhu dan tarawih berjemaah terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
“Alhamdulillah, kita kini sudah berada dalam fasa peralihan ke endemik yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal.
“Pada Ramadan tahun ini, umat Islam dapat kembali merapatkan saf untuk menunaikan solat fardhu dan tarawih secara berjemaah, serta menyemarakkan program ihya Ramadan, tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Khas Sempena Ramadan 1443 secara langsung menerusi platform siaran televisyen tempatan hari ini.
Dalam ucapannya itu, Ismail Sabri turut mengambil peluang mengucapkan selamat menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada Keluarga Malaysia yang beragama islam juga seluruh muslimin dan muslimat di mana sahaja berada.
Ismail Sabri berkata, pihaknya percaya ramai rakyat Malaysia yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan yang lepas.
“Walaupun kita diberikan kelonggaran, tetapi pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan jadi jangan leka dan terus mengamalkan kawalan kendiri.
“Ramadan bulan penuh barakah ini adalah peluang untuk menginsafi diri dan mengumpul pahala dengan memperbanyakkan amalan bersedekah. Semoga ia dapat memperkuatkan aspek rohani Keluarga Malaysia,” ujar beliau.
Tambahnya, amat penting bagi umat Islam memelihara hubungan bukan sahaja dengan Maha Pencipta, tetapi juga dengan sesama manusia.
“Sekali saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam. Ramadan disyukuri, insafi diri,” katanya.- KOSMO ONLINE