BARCELONA – Pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets percaya mereka masih mampu untuk memenangi saingan La Liga menjelang perlawanan menentang Sevilla di Camp Nou awal pagi esok.
Meskipun memiliki perbezaan mata yang jauh dengan pendahulu, Real Madrid, namun pemain antarabangsa Sepanyol itu yakin mereka boleh untuk meraihnya jika menang kesemua baki perlawanan musim ini.
Sekiranya berjaya mengatasi Sevilla awal pagi esok, skuad kendalian Xavi Hernandez itu sekurang-kurangnya berpeluang untuk berada di kedudukan kedua liga, sekali gus terus memberi tekanan kepada Real.
“Kami masih ada harapan untuk memenangi liga dan semua pemain akan cuba berjuang sehingga ke hujung musim. Kami perlu menang semua perlawanan dan kita lihat apa yang berlaku nanti.
“Barcelona berada pada prestasi terbaik ketika ini, jadi kami tidak boleh sia-siakan peluang untuk mengejar. Kami mahu terus hidupkan peluang dengan menewaskan Sevilla,” katanya.
Barcelona menampilkan aksi lebih meyakinkan ketika ini selepas The Catalans membuat percaturan bijak pada jendela perpindahan musim sejuk dengan mendapatkan khidmat Pierre-Emerick Aubameyang, Ferran Torres dan Adama Traore bagi menguatkan pasukan itu bagi saingan separuh kedua musim ini dan ternyata ia membuahkan hasil.
“Saya tahu kami tidak berada pada prestasi sebenar sebelum ini, namun kepulangan Xavi berjaya memastikan Barcelona kembali kepada era Pep (Guardiola) dan Luis Enrique,” ujar Busquets. – AGENSI