Baru-baru ini syarikat yang menerbitkan akhbar Kosmo! membuat satu laporan polis susulan ada akaun Facebook palsu yang menggunakan nama Kosmo! Online dan logo Kosmo! Digital untuk tujuan mengutip derma.
Facebook palsu itu yang mempunyai ribuan pengikut telah menggunakan gambar kanak-kanak sakit untuk meraih simpati orang ramai memberi sumbangan kepada nombor akaun yang diberikan dalam posting berkenaan.
Melalui pemerhatian, komen-komen yang ditinggalkan orang ramai memang ternyata menimbulkan rasa simpati, apabila ia melibatkan kanak-kanak.
Penulis bukan menidakkan gambar orang sakit yang dimuat naik itu tetapi cara yang dibuat oleh pemilik akaun palsu itu.
Sebelum ini pernah ada kes pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan beberapa gambar individu yang sedang sakit dan telah meninggal dunia tetapi nombor akaun bank bukan orang yang dipaparkan dalam gambar.
Sebaliknya akaun bank itu adalah si penipu yang ingin mendapatkan untung atas angin dengan mengutip duit sumbangan atau derma orang ramai itu.
Perkara yang sama pernah berlaku kepada adik Ainul Mardhiah yang menerima sumbangan rakyat Malaysia bagi membuat pembedahan di London.
Ketika itu, kanak-kanak tersebut yang mengidap penyakit Germ Cell Tumor turut menjadi mangsa scam atau penipuan kutipan derma apabila ada pihak yang membuat kutipan derma kali kedua selepas pembedahan itu berjaya.
Penipuan itu dikesan oleh bapa kanak-kanak itu sendiri, Ahmad Safiuddin yang mendedahkan akaun Facebook individu itu menulis nama Ainul dengan huruf besar bagi meraih perhatian.
Si penipu itu dikesan kerana meletakkan nama bapa Ainul sebagai Taufik.
Nombor akaun bank yang digunakan merupakan nombor akaun yang sama untuk beberapa posting yang hampir sama dengan menggunakan gambar kanak-kanak sakit untuk tujuan sumbangan derma.
Rakyat Malaysia yang sememangnya cepat simpati dengan gambar-gambar orang sakit sepatutnya membuat sedikit kajian sebelum menghulurkan derma.
Walaupun niat untuk menderma itu si pemberinya sudah mendapat pahala, tetapi perlu diingat jika orang ramai terus memberi muka sudah tentu penipuan ini semakin menjadi-jadi.
Si penipu itu hanya senang-senang memuat naik posting menipu di Facebook dan duit masuk macam air dalam akaun bank sedangkan si penderma terpaksa berkerja siang malam untuk mencari rezeki.
Penulis harapkan orang ramai jangan membuta tuli memindahkan wang ke akaun yang tidak pasti sebaliknya mendermalah melalui akaun Facebook yang sah dan diyakini.