Oleh MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
KERAJAAN negeri tidak dapat memenuhi permohonan bantuan yang dikemukakan pasukan Perak FC berjumlah RM2 juta untuk membantu pemain mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya terpaksa menolak kerana keutamaan perlu diberikan bagi membantu golongan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin di negeri ini.
Menurut Saarani, pihaknya turut bersimpati terhadap pemain bola sepak Perak, namun beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam membantu rakyat miskin.
“Ada permohonan rasmi supaya kerajaan negeri menghulur RM2 juta kepada beberapa orang pemain bola sepak. (Tetapi) RM2 juta ini kalau saya berbelanja RM200 untuk keluarga miskin, beribu saya boleh bantu.
“Sebab itu saya minta maaf, ia bukan bermakna saya tidak bersimpati, tetapi saya ada tanggungjawab lain yang lebih besar.
“Rakyat Perak yang miskin, orang-orang nak bangunkan perniagaan, mak cik yang nak buat bazar Ramadan, sedikit bantuan yang dia perlukan dan kita mungkin boleh beri RM500 (di mana) dia boleh beli tepung buat kuih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam.
Mengulas mengenai memorandum yang dihantar penyokong Perak FC agar Menteri Besar Perak campur tangan dalam kemelut yang dialami pasukan berkenaan, Saarani berkata, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya mencampuri urusan yang bukan di dalam bidang kuasanya.
Katanya lagi, Perak FC merupakan sebuah entiti perniagaan di mana Kerajaan Perak tidak mempunyai pegangan saham dan berharap ia diselesaikan mengikut saluran yang betul.
“Dalam erti kata lain pasukan bola sepak itu bukan kepunyaan kerajaan negeri. Kalau ia berkaitan pengurusan kenalah selesaikan melalui pesuruhjaya sukan dan juga dalam persatuan bola sepak.
“Kita (Kerajaan Perak) tidak boleh sewenangnya nak keluarkan duit kerajaan untuk menyelesaikan masalah macam ini,” katanya.