fbpx

Tiada lagi juadah berbuka daripada suami – Anita Baharom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANITA BAHAROM

TANGGAL 1 April lalu menandakan genap tiga bulan Anita Baharom kehilangan suami tercinta, Allahyarham Mohd. Ismadi Ismail yang kembali ke rahmatullah secara mengejut ketika dalam tidur.

Sepanjang tempoh yang berlalu, pelakon drama Dunia Baru itu cuba bangkit dan cekalkan semangat mengumpul semula kekuatan demi tiga permata hati mereka yang terlalu rindukan arwah.

Hati siapa tidak terusik melihat anak-anak yang masih baru belajar mengenal kehidupan kehilangan figura seorang bapa yang menjadi idola mereka. Rindu yang sentiasa menyala tambah membara saat dia dan belahan jiwa mereka meraikan kehadiran Ramadan kali ini tanpa insan kesayangan di sisi.

Kata Anita yang menjalani sesi fotografi bersama Pose di kediamannya di Shah Alam, Selangor, paling ketara tiada lagi kelibat Allahyarham menyediakan juadah terutama untuk bersahur yang menjadi rutin sejak mereka mendirikan rumahtangga sekitar 16 tahun lalu.

Memikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Anita berkata, dia perlu kekal kuat dan tabah untuk membesarkan tiga permata hatinya hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham. Foto – AFIQ RAZALI

“Arwah merupakan seorang suami dan ayah yang sangat penyayang. Dia bukan hanya menjadi ketua keluarga bertanggungjawab, malah ringan tulang membantu kerja di dapur.

“Kerap dia sendiri yang ambil alih tugas menyediakan hidangan terutama masa bersahur supaya saya pula dapat berehat. Biarpun menu ringkas sahaja, tetapi cukup bermakna.

“Kalau juadah untuk berbuka, dia akan tanya menu diingini sebab arwah jenis makan tak memilih, cukup dengan jamah roti john atau mi. Dua tahun kami bersahur dan berbuka di rumah sahaja sepanjang fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Itulah momen terindah.

“Dahulu, waktu paling dinantikan adalah solat tarawih sebelum era ‘serangan’ Covid-19 kerana kami sekeluarga suka merasai berbuka di masjid dan dapat terus solat Maghrib dan bertarawih,” katanya mengimbas kenangan lampau.

Briyani air tangan Syawal terakhir

Nasi briyani serta sup tulang merah air tangan suaminya ketika Syawal tahun lalu antara hidangan yang pastinya menggamit memori pelakon itu terhadap insan dicintai.

Seperti dirinya, puteri dan dua putera mereka iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8, hingga kini masih merasai perasaan sama.

Akuinya, kadangkala dia dan ketiga-tiga buah hati mereka terlupa ‘daddy’ yang disayangi sudah menetap di negeri abadi apabila adakalanya terpanggil Allahyarham.

Mengimbau kembali kenangan ketika hayat suaminya masih ada, Anita memaklumkan, apabila tiba bulan Ramadan, Allahyarham paling rajin masuk dapur menyediakan lauk sahur dan juadah berbuka puasa.

“Arwah memang memanjakan saya dan anak-anak. Semua dia lakukan untuk kami sampaikan saya sendiri pernah terlupa dia sudah ‘pergi’ hingga memanggil namanya meminta dia buat air Milo kegemaran saya.

“Anak yang terdengar panggilan itu terus memandang saya. Kemudian saya baru tersedar arwah sudah tiada dan kami pun terus menangis serentak.

“Boleh dikatakan setiap sudut di dalam rumah ini terbayang-bayang kelibatnya. Arwah sangat suka memasak. Beberapa hari sebelum pemergiannya, dia minta saya ambilkan video dia di dapur.

“Sebelum ini tak pernah pula dia minta ambil gambar atau video masak dirakam. Video itu sekarang yang selalu saya tengok kalau rindu,” luahnya.

Ketua bidadari

Allahyarham suami Anita yang juga bekas wartawan dan penerbit program Astro menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kencing manis di kediaman mereka pada 1 Januari lalu.

Kata Anita, biarpun sudah beberapa tahun menghidap penyakit kencing manis, pemergian Allahyarham secara tiba-tiba meninggalkan kesan mendalam.

Dedah aktres berusia 39 tahun itu lagi, dia harus kuat membendung rasa lara, rindu dan sunyi sekali gus masih perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu bersama anak-anak.

SEBULAN pertama selepas pemergian suami disifatkan Anita sebagai tempoh paling sukar untuk dilaluinya kerana kerap menangis dan teringat kepada arwah.

“Dialah teman suka dan duka. Arwah menatang saya bagai minyak yang penuh dan selalu sebut saya sebagai ketua bidadari. Dalam tempoh lebih 16 tahun hidup bersama, banyak sangat kenangan ditinggalkan.

“Kini semua saya kena lakukan sendiri dan mula berdikari. Dalam tempoh sebulan pertama pemergiannya, saya hilang separuh nyawa dan kerap menangis. Tetapi sebaik tengok anak-anak yang perlukan perhatian, saya kuat kembali.

“Sekarang saya masih cuba untuk tidak menangis lagi sebab saya perlu keluar cari rezeki. Saya kena bekerja demi kelangsungan hidup. Mujur kesibukan di lokasi penggambaran buatkan rasa sayu ini surut,” tambahnya yang baru menyempurnakan drama bersiri Si Tua Separuh Muda.

Buka rumah produksi

Enggan terus diulit rasa sayu, wanita cekal itu turut menyibukkan diri dengan memikul tanggungjawab sebagai jawatankuasa masjid di kediamannya serta kerja penerbitan.

Malah dia juga meneruskan projek rumah produksi yang diasaskan sejak setahun lalu, Tapak Emas Picture menerusi pembikinan program bersiri untuk kanak-kanak, Qlog bagi siaran Nurflix TV.

“Saya banyak belajar penerbitan atas tunjuk ajar arwah. Sebelum dia meninggal, saya sempat menyiapkan empat episod program cintakan Nabi untuk kanak-kanak di saluran penstriman Nurflix.

“Mungkin inilah bidang yang akan saya usahakan demi menyambung legasinya selain dalam perancangan mengeluarkan produk tisu pembersih mekap, Kireina Beauty,” tutur Anita seraya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI