KUALA LUMPUR – Tiada masalah bagi skuad badminton negara untuk menjuarai peringkat kumpulan Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei ini.
Ikon badminton negara, Datuk Dr. Lee Chong Wei berkata, Malaysia dilihat mempunyai peluang yang cerah dalam pertandingan tersebut.
“Bagi saya tiada masalah dalam peringkat kumpulan buat skuad negara sama ada kita juara atau naib juara.
“Namun, kita harap untuk juarai peringkat kumpulan supaya boleh berjumpa dengan naib juara kumpulan yang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Cawangan Utama dan Penjenamaan Semula CHAGEE di Pusat Membeli-belah Pavilion di sini hari ini.
Menurut Chong Wei, persediaan perlu bermula sekarang supaya pasukan kebangsaan mempunyai strategi yang berhasil pada Piala Thomas dan Uber tahun ini.
“Pemain perlu kenal pasti siapa yang akan berjumpa sekiranya layak ke pusingan seterusnya. Saya rasa semua pemain juga sudah tahu siapa yang bertanding,” jelasnya.
Semalam, menerusi undian skuad lelaki diletakkan dalam kumpulan D bersama Jepun, England dan New Zealand manakala skuad wanita diletakkan dalam kumpulan C bersama pasukan Thailand, Denmark dan Mesir. – KOSMO! ONLINE