fbpx

Antara doa, pengharapan dan ‘larangan’ menghukum Yasin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT Raihan, masyarakat jangan terlalu cepat menghukum Yasin kerana kita tidak tahu apa yang sedang dilaluinya ketika ini.

ISU membabitkan penggunaan dadah dalam kalangan selebriti tempatan sekali lagi menuai tumpuan masyarakat. Ibarat acara larian berganti-ganti, nama penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman kini menjadi sebutan ramai selepas ditahan polis atas tuduhan memiliki dadah dan menanam pokok ganja di rumahnya.

Berita penahanan bekas anggota kumpulan nasyid Brothers itu ternyata mengejutkan ramai pemain industri apabila Yasin atau nama lengkapnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, ditahan di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 25 Mac lalu.

Lebih mengejutkan, polis turut menemui satu bekas plastik berwarna biru atau hitam, di dalamnya terdapat dua plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja seberat 214 gram di dalam rumah berkenaan. Polis turut menemui 17 pokok ganja yang ditanam di dalam pasu.

Ketika kisah penangkapan diberitakan, ramai yang berteka-teki gerangan penyanyi nasyid dan komposer yang dimaksudkan, walaupun nama Yasin disebut-sebut sebagai individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Sehinggalah pada Khamis lalu, identiti selebriti yang menjadi perbualan itu didedahkan kepada umum selepas dia dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi prosiding pertuduhan yang dibacakan di hadapan majistret Zhafran Rahim Hamzah.

YASIN menghidap penyakit bipolar serius sejak 2009 dan kini bergelut dengan tahap kesihatannya yang semakin merosot.

Difahamkan dalam prosiding pertuduhan pada hari tersebut, Yasin dituduh mengikut Seksyen 39B dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan setiap satu daripadanya didakwa masing-masing di Mahkamah Majistret dan Sesyen.

Seluruh peminat Yasin termasuk pemain industri bagaikan hilang kata-kata apabila penyanyi berdarah kacukan Melayu-Australia itu boleh berdepan dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Seperti yang dilaporkan media, diketahui bahawa pelantun lagu Mimpi Laila itu disahkan menghidap bipolar serius sejak 2009 dan telah mendapatkan rawatan.

Peguam Yasin, Yusmadi Yusoff berkata, kali terakhir penyanyi itu mendapatkan rawatan sekitar dua bulan lalu dan memerlukan rawatan susulan ketika ini.

“Saya sudah meminta pegawai penyiasat dan mahkamah untuk membawa dia (Yasin) mendapatkan rawatan segera. Hak rawatan dia perlu dipastikan.

“Tambahan pula dengan keadaan sekarang dia tidak biasa dimasukkan ke dalam lokap. Jadi saya bimbang tahap kesihatannya,” katanya.

Bahkan, Yasin sendiri ketika prosiding di Mahkamah Majistret merayu diberi peluang mendapatkan rawatan kerana bimbang keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

“Kesihatan saya sangat terjejas. Saya khuatir bila-bila masa boleh jadi gila seperti berlaku tiga kali sebelum ini. Jadi saya perlukan ubat tambahan,” katanya.

YASIN (dua dari kanan) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah pada Khamis lalu.

Rakan seperjuangan Yasin dalam industri muzik nasyid, kumpulan Raihan dalam pada itu memohon agar orang ramai tidak terlalu cepat menilai penyanyi itu atas kes yang terkait.

Ujar salah seorang ahli kumpulan itu, Abu Bakar Md. Yatim, dia menyifatkan Yasin sebagai seorang sahabat yang baik.

“Kita tidak tahu apa yang dia lalui, jadi jangan terlalu cepat menghukum. Kami mengenalinya sebagai seorang sahabat yang baik.

“Kami (kumpulan nasyid) juga manusia biasa yang ada kelemahan dan kekurangan. Mungkin dia melakukan kesilapan dan kita doa semoga dapat diperbetulkan,” ujarnya.

Sama seperti semua peminat penyanyi itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, turut menaruh harapan tinggi agar urusan adiknya dipermudahkan.

“Saya mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segalanya,” kata Zain ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Petaling Jaya.

Nasib Yasin masih belum diketahui andai dia benar-benar ke tali gantung, namun semoga apa yang berlaku terhadapnya menjadi iktibar kepada semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI