fbpx

Afieq Shazwan trauma dengan hujan lebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN masih trauma dengan kejadian banjir besar, Afieq kini berdepan kesan dijangkiti Covid-19 pada Februari lalu.

SEKITAR penghujung tahun lalu, satu kejadian banjir besar menenggelamkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk di Shah Alam, Selangor.

Ribuan penduduk terjejas apabila kediaman mereka ditenggelami banjir sehingga ke paras bumbung. Dalam ribuan mangsa yang terlibat, kediaman yang diduduki penyanyi, Afieq Shazwan bersama keluarga antara yang turut terkesan.

Ujar penyanyi berusia 24 tahun itu, bencana alam yang berlaku pada Disember tahun lalu tidak akan pernah dia lupakan kerana pertama kali berlaku dalam hidupnya.

Afieq atau nama lengkapnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros memberitahu, dia terpaksa ‘melarikan diri’ sejauh empat kilometer (km) dari kediamannya demi mendapatkan akses internet dan liputan telefon.

“Tiada liputan telefon, kena keluar jauh sikit dalam tiga hingga empat kilometer, baru ada. Tapi air tak surut-surut,” ujarnya.

TIDAK terfikir berpindah ke tempat baharu, kediaman Afieq yang pernah dilanda banjir didiami bersama ibunya.

Ujar Afieq lagi, sejak kecil lagi dia sudah tinggal di rumah yang terletak di Klang, Selangor bersama neneknya dan kejadian tersebut adalah pertama kali terjadi di situ.

Walaupun keadaan kini sudah pulih seperti sediakala, pelantun lagu Malam Semakin Dingin itu mengakui kejadian banjir yang menimpanya membuatkan dia trauma apabila hujan turun dengan lebat.

Setiap kali hujan membasahi bumi, penyanyi berkulit hitam manis itu menjadi gelisah, lebih-lebih lagi jika dia bekerja di luar kawasan kerana bimbangkan keadaan ibunya di rumah.

“Kejadian banjir yang berlaku pada tahun lalu buatkan saya jadi trauma ketika berjauhan dari rumah. Walaupun hujan berlaku di tempat lain sekalipun, saya jadi risau.

“Saya akan sentiasa menghubungi ibu untuk bertanya jika hujan juga turun di kawasan rumah. Bimbang kalau air naik (banjir) ketika saya tiada,” katanya.

Walaupun pernah berdepan dengan musibah banjir buruk, Afieq bagaimanapun tidak berhasrat untuk berpindah ke kawasan lain kerana kediamannya sudah dianggap sebagai rumah kampung.

“Memang kena tinggal di sana (Klang) sebab saya duduk bersama ibu. Kami sudah selesa di sana. Insya-Allah, kalau ada rezeki tahun ini, saya memang mahu beli rumah. Doa-doakanlah,” jelasnya.

Walaupun enggan mendedahkan kerugian yang harus ditanggung, Afieq berkata, jumlah tersebut sebenarnya agak besar kerana hampir kesemua perabot di dalam rumahnya yang baru dibeli musnah akibat musibah yang berlaku.

SELEPAS sembuh daripada wabak Covid-19 pada Februari lalu, Afieq mengakui takut untuk membuat persembahan kerana vokal dan pernafasannya terganggu.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang turut mencipta nama sebagai pelakon itu berkongsi keadaan terkini selepas dijangkiti Covid-19 sekitar Februari lalu.

Sebagai penyanyi, dia mengakui Covid-19 menjejaskan kualiti nyanyiannya kerana mengganggu pernafasan dan vokal.

Sejujurnya, selepas sembuh, Afieq merasai perbezaan terhadap mutu nyanyiannya berbanding sebelum dijangkiti wabak tersebut.

“Nyanyian saya memang berbeza antara sebelum dan selepas dijangkiti Covid-19. Saya rasa sangat mencabar untuk menyanyi.

“Paling ketara saya berasa cepat penat walaupun selepas menyanyikan sebuah lagu. Saya juga sukar mencapai nyanyian bernada tinggi, berbeza seperti sebelum ini,” katanya.

Bekas peserta program Big Stage musim pertama itu bimbang sekiranya keadaan yang dialaminya berkekalan dalam tempoh waktu yang panjang.

“Takut juga kerana menyanyi adalah punca rezeki saya. Sampai sekarang saya rasa takut untuk menyanyi, bimbang jika tidak dapat buat persembahan dengan baik.

“Saya sudah dapatkan rujukan daripada doktor dan diberitahu kesannya antara tiga sehingga enam bulan,” jelasnya yang mengamalkan meminum air lemon bercampur madu dan petua lain untuk memulihkan suara serta pernafasannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI