SUNGAI PETANI – Seramai 16 warga Indonesia yang leka bermain judi dadu serta judi bola gelek dan sabung ayam ditahan polis dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Tok Pawang di Bedong dekat sini semalam.
Dalam serbuan Op Dadu kira-kira pukul 4.45 petang itu, polis turut menahan empat lelaki tempatan yang disyaki penganjur kepada kegiatan perjudian tersebut.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda serta penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.
Ketua JSJ Kedah, Datuk G. S. Suresh Kumar memberitahu, bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan di lokasi berkenaan dan mendapati kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan bersama 15 lelaki dan seorang wanita Indonesia terlibat dalam kegiatan perjudian.
“Kesemua mereka kemudian ditahan dan kita merampas wang tunai berjumlah RM9,434,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE