KUANTAN – Polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebelum menembak tayar sebuah kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) yang melanggar sekatan jalan raya sehingga hampir merempuh anggota polis dalam Op Samseng Jalan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) berhampiran Plaza Tol Gambang di sini semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamad Yoosuf berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail yang mencurigakan telah memecut laju cuba melarikan diri dengan memasuki lorong kecemasan serta cuba melanggar anggota polis sebelum kembali memasuki lorong laju.
“Anggota polis telah melepaskan tembakan amaran ke udara namun tidak diendahkan dan kenderaan itu dikejar sejauh satu kilometer dan tembakan ke arah tayar hadapan kiri dan kanan kenderaan berkenaan dilepaskan.
“Setelah sampai ke Kilometer 201 LPT 1, pemandu kenderaan berkenaan memberhentikan kenderaan akibat tayar pancit dan cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran namun berjaya ditangkap oleh anggota polis,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes itu dan suspek yang berumur 33 tahun dan anak saudaranya berumur 17 tahun serta kesemua 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati pergerakan kenderaan berkenaan adalah dari Thailand ke Kelantan sebelum ke Petaling Jaya Selangor.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen, Seksyen 186 Kanun Keseksaan adn Seksyen 26J ATIP,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE