KETUA kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad percaya atlet negara mampu mencapai jumlah kutipan pingat lebih tinggi menjelang temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei nanti.
Katanya, sasaran kutipan pingat 31 emas, 19 pingat perak dan 29 pingat gangsa yang diumumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker di Dewan Negara semalam merupakan sasaran awal.
Jelas Nur Azmi, sasaran akhir kontinjen atlet negara bagi merangkul pingat pada temasya dwitahunan tersebut akan diperhalusi semula menerusi bengkel penetapan pingat pada 13 April nanti.
“Bagi saya 31 emas okey, tetapi mengikut gaya perbelanjaan yang kita keluarkan mungkin tak cukup dari segi pungutan pingat
“Apapun, sasaran pingat dari pihak kita mungkin lebih, namun keputusan akhir akan diperhalusi menjelang bengkel yang akan diadakan pada 13 April ini nanti.
“Bengkel tersebut turut melibatkan beberapa pihak seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan ketua jurulatih serta pengurus sukan,” katanya pada Mesyuarat Pengurus Pasukan Sukan SEA ke-31 di ibu negara sebentar tadi.
Menjelang Sukan SEA Hanoi pada 12 hingga 23 Mei ini nanti, Malaysia menjadi kontinjen keempat terbesar apabila menghantar 883 peserta termasuk 604 atlet dan 279 pegawai.
Seramai 225 atlet berada di bawah Kategori A dan 379 di bawah Kategori B.
Sebagai rekod, kontinjen negara ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina menamatkan kempen temasya apabila sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa, jauh tersasar daripada sasaran 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa.
Ia menyaksikan Malaysia menduduki tangga kelima keseluruhan berbanding sasaran tempat keempat. – KOSMO! ONLINE