SEBERANG PERAI – Sebanyak RM4,549,780 diagihkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada seramai 14,744 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf di bawah kategori fakir dan miskin di negeri ini pada tahun ini.
Agihan di bawah peruntukan untuk zakat tambahan atau dikenali sebagai Saguhati Nur Ramadan itu dibuat menjelang sambutan bulan Ramadan pada setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, selain wang tunai, penerima Saguhati Nur Ramadan akan diberikan hamper berupa keperluan makanan.
“Harapan saya semoga agihan zakat seperti ini dapat meringankan beban golongan sasaran
ketika menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Amran turut berterima kasih kepada para pembayar zakat yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka di ZPP.
“Dalam hal ini, saya amat berharap agar lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil menunaikan zakat bagi membantu ZPP meneruskan agenda penting dalam membela golongan asnaf di negeri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE