BALTIMORE, MARYLAND – Sebuah kapal kontena yang terkandas dekat Pelabuhan Baltimore di Amerika Syarikat masih terperangkap di lokasi berkenaan selama hampir tiga minggu, lapor perkhidmatan berita NPR kelmarin.
Kapal Ever Forward sepanjang 333.7 meter (m) itu terkandas di Teluk Chesapeake ketika baru memulakan pelayaran ke Norfolk pada 13 Mac lalu.
Ia menghadapi masalah semasa membelok ketika meninggalkan Baltimore dan tersekat di perairan cetek sehingga kini.
Usaha untuk membebaskan kapal itu pula menemui kegagalan.
Satu percubaan dilakukan pada pada Selasa lalu melibatkan lima bot tunda, dengan satu daripadanya digunakan untuk menolak Ever Forward, dua lagi menarik dari bahagian pelabuhan serta satu lagi menarik dari arah buritan.
Pengarah Eksekutif Pelabuhan Baltimore, William Doyle berkata, percubaan kedua akan dilakukan dalam masa beberapa hari lagi menggunakan dua tongkang penarik dan lima bot tunda.
Menurut jurucakap Pengawal Pantai, Kapten Dave O’Connell, kerja-kerja mengorek pasir mencecah kedalaman 13 m juga sedang dilakukan untuk mengapungkan Ever Forward. Kapal itu memerlukan kedalaman air hingga 12.8 m bagi membolehkannya beroperasi.
“Kapal Ever Forward terkandas pada kedalaman air 7.3 m. Ia tertimbus kira-kira 4.5 m ke dalam lumpur. Ia adalah kuantiti yang banyak,” katanya.
Kapal tersebut dipenuhi muatan kargo seberat 130,000 tan. Bagi mengurangkan beban berat berkenaan, bahan api akan disingkirkan dan sebahagian daripada air yang dibawa sebagai pemberat akan dialirkan keluar.
Kapal Ever Forward dimiliki oleh syarikat Evergreen Marine Corp. Syarikat itu merupakan pemilik kapal MV Ever Given yang terkandas di Terusan Suez pada tahun lalu.
Bagaimanapun, dalam kejadian kali ini, Ever Forward tidak menghalang laluan kapal-kapal lain. – AGENSI