fbpx

Kelewatan kargo jejas persiapan RNF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZLAN mengakui pasukannya akan cuba sehabis baik pada GP Argentina hujung minggu ini meskipun berdepan masalah kelewatan kargo. – WITHU RNF RACING

PASUKAN Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), WithU Yamaha RNF turut menerima tempias gara-gara kelewatan kargo selepas pesawat yang sepatutnya tiba lebih awal di Grand Prix (GP) Argentina hujung minggu ini tidak sampai seperti dijadualkan.

Bagaimanapun, prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya bernasib baik apabila tiga kotak kargo sahaja masih belum tiba berbanding pasukan lain yang terjejas teruk ekoran sebuah pesawat mengalami masalah di Mombasa, Kenya sejurus berlepas dari Lombok, Indonesia.

“Kami bernasib baik kerana hanya tiga kotak masih belum sampai dan dimaklumkan bahawa semua kargo akan tiba pada Jumaat petang waktu Argentina.

“Paling kritikal bagi pasukan ialah alat ganti jentera. Kalau nak bandingkan dengan pasukan lain, jentera mereka masih ada yang tidak sampai lagi.

“Kami akan cuba lakukan yang terbaik dalam perlumbaan ming­gu ini dengan apa cara sekalipun,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Antara pasukan yang turut terjejas ialah Ducati, Gresini Ra­cing dan VR46 Racing Team.

Pasukan KTM juga dikatakan berdepan masalah sama apabila tujuh kotak termasuk sebuah jentera RC16 masih belum tiba di Argentina.

Isu masalah logistik itu menyebabkan penganjur MotoGP terpaksa merombak semula ja­dual perlumbaan dengan sesi latihan yang berlangsung semalam akan diadakan hari ini.

Aksi kelayakan di Litar Termas de Rio Hondo pula dijadualkan pada sesi petang hari ini.

Sebagai rekod, RNF sudah berjaya mengutip lapan mata daripada dua perlumbaan MotoGP setakat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI