RANTAU PANJANG – Golongan T20, M40 dan pengusaha kedai makan yang turut menggunakan minyak masak peket didapati menjadi antara punca bekalan bahan mentah bersubsidi itu kurang di pasaran.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, semakan mendapati, sebanyak 60,000 tan minyak masak peket telah diperuntukkan untuk golongan B40 setiap bulan.
Menurutnya, bagaimanapun, golongan T20, M40 dan pengusaha kedai makan termasuk restoran turut menggunakan minyak masak peket itu.
“Ada pihak mendakwa kekurangan bekalan berlaku kerana program Keluarga Malaysia namun, syarikat pembungkusan semula yang terbabit dalam program itu hanya sebahagian kecil.
“Kegiatan menyeludup minyak masak ke negara jiran juga dipercayai menjadi penyumbang kepada masalah ini. Ia bagaimanapun dapat diatasi menerusi hasil kerjasama agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan negara,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini hari ini.