GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas 184.65 kilogram (kg) syabu dan ganja bernilai hampir RM1.2 juta dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis turut menahan 11 suspek termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 25 hingga 55 tahun dalam operasi itu.
Mohd. Shuhaily berkata, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berumur 35 dan 44 tahun ditahan di tepi pantai di Tanjung Asam, Teluk Kumbar dekat sini Isnin lalu selain lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan di atas bot di tepi pantai.
“Siasatan lanjut di atas bot menemui 20 bungkusan dipercayai syabu seberat 21 kg bernilai RM756,720 dan kita percaya bekalan dadah itu baru sampai melalui jalan laut dari negara jiran.
“Suspek kedua yang merupakan warga asing berusia 44 tahun berjaya ditahan di kawasan sama pada pukul 1 pagi, Selasa lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, polis merampas ganja seberat 163.65 kg bernilai RM409,125 dalam serbuan berikutnya di negeri ini dan Sungai Petani pada Rabu. – KOSMO! ONLINE.