MELAKA – Lebih 4,000 pasang kasut dan selipar jenama tiruan dipercayai bekalan bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dirampas dalam satu serbuan di Bachang, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, turut ditahan adalah seorang peniaga berusia 30-an.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, serbuan itu merupakan hasil risikan yang dijalankan penguat kuasa selama seminggu.
Katanya, pemeriksaan di premis menjumpai 4,277 pasang kasut dan selipar menggunakan cap dagangan palsu bernilai RM85,710.
“Kita percaya kesemua bekalan dirampas adalah untuk pasaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Modus operandi peniaga ini adalah untuk menyasarkan penjualan kasut dan selipar ini secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE