USAI dinobatkan pemenang tempat ketiga program realiti, Big Stage 2020, penyanyi dan komposer berbakat besar, Aisha Retno terus muncul dengan single terbaharu berjudul Pencarianku.
Karya berkenaan merupakan hasil ciptaan dirinya sendiri dengan Sharon Paul bawah label syarikat yang menaungi kerjaya seni muziknya, Sony Music Entertainment.
Pertama sekali, ingin diingatkan di sini, meskipun perjalanan Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam di Big Stage bernoktah di tempat ketiga dan bukannya juara, itu tidak memberi definisi sebenar bakat luasnya sebagai seorang pemuzik.
Setuju atau tidak, penglibatan Aisha dalam program terbabit telah melonjakkan tanda aras. Paling penting, membuktikan bahawa harapan masih ada untuk bakat-bakat generasi terus menderas pada masa hadapan.
Baik Elica Paujin, Danial Chuer dan Aisha serta termasuk dua finalis lain, masing-masing mempunyai peluang cerah dan sama rata selepas ini untuk mewarnai industri seni muzik tanah air.
Pintu sudah terbuka luas dan kini, terpulang untuk mengalunkan jalur seni mereka.
Simbolik, komposisi muzik
Baiklah, berbalik tentang kualiti lagu Pencarianku. Secara jujurnya buat penulis, lagu berkenaan memberikan simbolik bahawa Aisha benar-benar serius ingin terus memahat nama dalam arus perdana.
Terdapat pepatah Inggeris berbunyi, ‘eat while it’s hot’ dan itulah yang diberikan Aisha selepas menamatkan ‘graduasi’ dalam program Big Stage.
Pencarianku, kalau diadili dari halwa telinga penulis yang bukanlah berlatar belakang pendidikan muzik, namun seorang pencinta dunia muzik, boleh disifatkan sebagai sebuah antem balada yang tidak kurang hebatnya.
Komposisi muziknya cukup rencah dan rempah menakluk status sebuah lagu balada yang gah. Namun buat penulis secara peribadi, dengan bakat semega Aisha, lagu berkenaan boleh digahkan lagi dengan permainan orkestra yang lebih besar.
Nuansa lagu dimulakan dengan dentingan piano dan perihal tersebut agak konsisten disaji dari awal hingga minit akhir berbaur sedikit klise dengan karya-karya yang pernah diadun atau ditulis Sharon sebelum ini.
Kalau itu tidak tersasar faktanya, mungkin boleh menyelinap dengar lagu-lagu Sharon barangkali dendangan penyanyi hebat, Misha Omar.
Listrik, ‘olimpik’ vokal
Pun begitu, apa yang melegakan tentang Pencarianku adalah kualiti listrik vokal dicernakan Aisha.
Kita boleh harapkan head voice, itu diberikannya. Kita harapkan runs ada adlibs, itu juga tanpa lelah dicernakan Aisha. Untuk itu, terima kasih.
Sebenarnya, melahirkan lagu balada dan mengangkat tema kasmaran atau cinta, itu satu pengisian klise. Tetapi ironinya, itu juga yang mudah menangkap perhatian pendengar.
Kalau Aisha benar-benar ingin mencipta kelainan dan meluru deras sebagai penyanyi yang bakatnya terus diraikan di luar pentas Big Stage, dia perlu jadi lebih daripada apa dihasilkan menerusi lagu Pencarianku.
Penulis percaya, Aisha tahu apa kekuatan sebenarnya sebagai seorang penyanyi yang penuh ilmu di dada. Gunakan sebaik mungkin kelebihan yang ada kerana itu yang membezakan dirinya dengan banyak penyanyi picisan lain.
Tuntasnya, Pencarianku merupakan satu percubaan baik dari Aisha yang baru ditunjukkan ‘lorong’ baharu dalam dunia seninya. Selamat maju jaya dan penulis tidak malu untuk mengakui, berdiri seorang peminat di sini yang sentiasa menantikan magis seterusnya berlaku dalam dunia nyanyian Aisha.